Aurora borealis dilihat semasa ribut geomagnet di langit Grimsby di Lincolnshire, England.
WASHINGTON: Ribut solar paling kuat dalam tempoh lebih dua dekad melanda bumi, mencetuskan fenomena aurora menakjubkan di langit dari Tasmania ke Britain.
Bagaimanapun fenomena itu turut mengancam kemungkinan gangguan satelit dan grid kuasa yang dijangka berterusan sehingga hujung minggu.
Menurut Utusan Malaysia, Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) memberitahu, beberapa pengusiran plasma dan medan magnet pertama dari matahari dikesan kelmarin.
Kejadian itu menghasilkan ribut geomagnet ekstrem yang pertama sejak Oktober 2003, menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Sweden dan merosakkan infrastruktur kuasa di Afrika Selatan.
Media sosial dibanjiri dengan siaran gambar aurora menawan yang melatari langit dari utara Eropah, sekitar Australasia dan beberapa bahagian di Amerika Syarikat (AS) termasuk California Utara dan Alabama.
Pegawai NOAA, Brent Gordon menggalakkan orang ramai cuba merakam langit malam dengan kamera telefon untuk melihat aurora dengan lebih jelas berbanding mata kasar.
Pihak berkuasa memaklumkan pengendali satelit, syarikat penerbangan dan grid kuasa untuk mengambil langkah berjaga-jaga berikutan potensi gangguan yang disebabkan oleh perubahan pada medan magnet bumi.
Kapal angkasa juga berisiko terhadap sinaran dos yang tinggi, walaupun atmosfera menghalangnya daripada sampai ke bumi.
Profesor Fizik Angkasa Lepas Universiti Reading, Mathew Owens berkata, walaupun sebahagian besar kesannya akan dirasai di latitud utara dan selatan bumi, sejauh mana ia akan dilanjutkan bergantung pada kekuatan akhir ribut solar tersebut.
Ribut geomagnet paling kuat dalam sejarah dikenali sebagai Peristiwa Carrington sempena nama Ahli Astronomi Britain, Richard Carrington berlaku pada September 1859.
Arus lebihan pada talian telegraf ketika itu menyebabkan renjatan elektrik kepada juruteknik malah turut membakar beberapa peralatan telegraf.


































