Armizan Mohd. Ali (kiri) meninjau gerai Jualan Rahmah yang beroperasi sempena Karnival KPDN 2024 di Kangar Jaya, Perlis, semalam.
KANGAR: Prestasi nilai jualan borong dan runcit negara bagi Mac tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 5.2 peratus dengan nilai RM145.7 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Berdasarkan data terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia berhubung prestasi perdagangan borong dan runcit pada Mac menunjukkan perkembangan yang amat positif.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, situasi ini juga menunjukkan segala tindakan, pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan sebelum ini berada pada landasan yang tepat.
“Bagi nilai perdagangan runcit pula, ia mencatatkan peningkatan 7.1 peratus secara year on year basis dengan nilai jualan berjumlah RM62.8 bilion,” katanya semasa berucap pada Karnival KPDN 2024 di Kangar Jaya di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, KPDN selaku sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara juga sentiasa memberi perhatian terhadap usaha bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan menurunkan kos sara hidup penduduk di negara ini.
Katanya, bagi tujuan itu, kerajaan mengambil langkah permulaan dengan meningkatkan gaji penjawat awam bermula penghujung tahun ini.
“Kerajaan juga berusaha untuk menyasarkan semula subsidi, bukan bermaksud memotong atau memansuhkan terus bantuan itu, tetapi menyampaikan kepada golongan yang betul-betul memerlukannya,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai penganjuran program berkenaan, Armizan berkata, objektif karnival tersebut adalah bagi mempromosikan fungsi dan perkhidmatan yang ditawarkan kementerian dan agensi kepada rakyat di negeri ini.
Katanya, antara tarikan sepanjang tiga hari Jelajah KPDN Tahun 2024 di Perlis melibatkan pameran dan aktiviti menarik melalui Pavilion Perkhidmatan Perdagangan Pengedaran, Perlindungan Pengguna dan Inisiatif Kos Sara Hidup.
“Selain itu, jelajah ini turut membuka peluang dan potensi melalui padanan perniagaan dan promosi yang lebih besar khususnya kepada para peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka,” katanya.


































