Lima buah kereta dilaporkan mengalami kerosakan akibat dihempap oleh pokok yang tumbang susulan hujan lebat dan angin kencang di George Town, Pulau Pinang awal pagi tadi.
GEORGE TOWN : Lima buah kereta dilaporkan rosak akibat dihempap pokok yang tumbang gara-gara hujan lebat dan angin kencang di sini, awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang berkata, kejadian itu berlaku di sekitar Jalan Macalister iaitu berhampiran bangunan YMCA di sini.
“Salah satu daripada kereta tersebut iaitu Perodua Myvi rosak teruk manakala empat buah kereta yang lain pula mengalami kerosakan yang sederhana atau sedikit sahaja.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan susulan kejadian berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, ketika ini, kerja-kerja pembersihan jalan sedang dilakukan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.
Dalam perkembangan lain, hujan lebat sejak awal pagi tadi juga menyebabkan beberapa kawasan di Nibong Tebal khususnya di sekitar Sungai Chenaam dinaiki air sehingga ke paras antara 0.5 hingga ke satu kaki.
Menurut APM Seberang Perai Selatan (SPS), kejadian itu menyebabkan kira-kira 30 buah rumah terjejas.
Bagaimanapun katanya, tidak ada mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara kerana air bagaimanapun mulai surut seawal 9.30 pagi tadi.
































