Beberapa anggota bomba sedang mengeluarkan mayat mangsa yang dipercayai lemas akibat terperangkap selepas kereta yang dinaikinya terjunam ke dalam tali air di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang.
KEPALA BATAS : Seorang pemandu wanita dilaporkan maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam tali air di Jalan Lahar Kepar, Penaga di sini, pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa, Siti Hawa Mohd. Isa, 40, disahkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas gara-gara terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Alza itu.
Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda, Mohamad Yazi Taib berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.39 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi.
Katanya, kerja-kerja menyelamat mangsa turut melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), BBP Butterworth.
“Semasa operasi, keadaan arus deras dan hujan. Kereta tersebut pula ditemukan pada jarak 200 meter dari lokasi (tempat kereta tersebut dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam tali air).
“Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan pada pukul 9.55 pagi, namun, telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambah Mohamad Yazi, mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi tersebut tamat sepenuhnya kira-kira pukul 10.06 pagi tadi,” ujar beliau.
































