Sivasangari beraksi pada pusingan pertama Kejohanan Skuasy Dunia di Kelab Palm Hills, Kaherah, Mesir, kelmarin. – Ihsan PSA World Tour
PETALING JAYA: Pemain skuasy No. 1 negara, S. Sivasangari memulakan kempen pada Kejohanan Skuasy Dunia dengan langkah kanan selepas mengetepikan wakil Latvia, Ineta Hopton pada pusingan pertama di Kelab Palm Hills, Kaherah, Mesir, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, anak jati Sungai Petani, Kedah itu hanya memerlukan masa selama 19 minit untuk melakar kemenangan straight set 11-6, 11-8, 11-8 ke atas pemain ke-58 dunia tersebut.
Pada pusingan kedua, esok, Sivasangari yang menghuni ranking No. 11 dunia itu bakal menghitung pertemuan dengan Caroline Fouts dari Amerika Syarikat.
“Saya memang menjangkakan akan bermain lebih baik dan ternyata ia berhasil apabila saya menang 3-0, tetapi, saya masih belum mendapat rentak permainan sebenar,” kata Sivasangari sewaktu ditemu bual selepas perlawanan berakhir.
Mengulas mengenai pencabarnya, Hopton, Sivasangari berkata, pemain tersebut sangat bagus mengendalikan raket dan sukar untuk mencari rentak ketika berdepan lawannya itu.
“Saya tidak rasa saya berjaya mencari sudut yang baik tadi dan pergerakan saya juga tidak lancar kerana bimbang tergelincir seperti berlaku ketika latihan, namun, sekarang keadaan gelanggang bertambah baik, tetapi saya masih berhati-hati,” ujarnya.
Bercakap mengenai aksinya di pusingan kedua, pemain berusia 25 tahun itu berharap dia dapat beraksi lebih baik dan memberi lebih tumpuan kepada permainan berbanding pencabarnya.
Turut mara ke pusingan kedua, Aira Azman yang menundukkan Lowri Robert dari Wales 11-8, 11-8, 10-12, 14-12 dalam masa 35 minit dan bintang No. 6 dunia, Georgina Kennedy dari England menanti pemain remaja negara itu di peringkat seterusnya.
Dalam saingan lelaki, pemain No. 17 dunia, Ng Eain Yow tidak berdepan masalah menundukkan Baptiste Masotti dari Perancis yang berada di tangga ke-18 dunia 11-9, 11-8, 11-5 dalam masa 40 minit.
Eain Yow bakal berdepan pemain Jepun, Ryunosuke Tsukue yang menghuni ranking ke-58 dunia pada pusingan kedua.
Seorang lagi wakil Malaysia, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar yang turun ke gelanggang sehari lebih awal turut layak ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain tuan rumah, Karim El Hammamy 11-6, 9-11, 8-11, 11-4, 11-9 dalam masa 1 jam 27 minit.
Pada peringkat seterusnya, Addeen bakal berdepan laluan sukar apabila bertemu pilihan kelapan, Tarek Momen dari Mesir, sementara, Aifa Azman, Rachel Arnold, Chan Yi Wen dan Noor Ainaa Amani Ampandi terkandas di pusingan awal.
































