Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) memandang serius terhadap keselamatan pelancong di Sabah.
Menteri, Datuk Christina Liew berkata, susulan insiden kemalangan yang berlaku baru-baru ini yang membabitkan seorang pelancong daripada China yang cedera semasa melakukan aktiviti paragliding di Kg. Lohan, Ranau, Kementerian ini telah mengadakan satu mesyuarat khas dengan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan untuk membincangkan tindakan-tindakan dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengawal keselamatan dan mencegah kemalangan bagi aktiviti-aktiviti berisiko tinggi khasnya paragliding.
Beliau berkata, mesyuarat telah diadakan pada 8 Mei, 2024 yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap KePKAS turut dihadiri oleh Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah (JPBNS), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Pejabat Daerah Ranau dan Persatuan Luncur Udara Negeri Sabah (PLUS).

Christina Liew
Katanya, msyuarat ini mencadangkan tindakan-tindakan berikut:
a) Syarikat-syarikat yang terbabit dengan kemalangan yang melibatkan pelancong-pelancong perlu menangguhkan sementara pengoperasian aktiviti paragliding tempoh masa sekurang-kurangnya 14 hari bagi memberi ruang kepada pihak-pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
b) PLUS perlu mengadakan perbincangan bersama Malaysian Sport Aviation Federation (MSAF) untuk memperhalusi garis panduan aktiviti paragliding di Sabah dengan mengambil kira faktor-faktor seperti kompetensi jurupandu, kelengkapan peralatan, lokasi pelancaran dan pendaratan, keadaan angin dan cuaca, lesen kenderaan yang mengangkat pelancong dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain, kesediaan kemudahan keselamatan di pekeliling, dan lain-lain.
c) PIhak berkuasa tempatan perlu memantau aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelancong dijalankan mengikut peraturan-peraturan yang berkuatkuasa.
d) Sebarang Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Paragliding perlu diluluskan oleh pihak yang berkuasa. PLUS dipohon untuk menyemak punca-punca kuasa dan pihak yang berkuasa dalam perkara ini.
Mesyuarat juga mencadangkan supaya pihak Majlis Daerah dan Pejabat Daerah menimbangkan semula pelaksanaan acara-acara ini yang melibatkan paragliding akan diadakan seperti Sonsoluyon Paragliding Accuracy Championship dijadual pada 25 dan 26 Mei, 2024..
































