Christina Liew
KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, pelaksanaan Kaunter Berpusat di Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR), Kota Kinabalu adalah untuk memastikan agar semua bot pengendali sukan air mempunyai landing permit yang sah, menjamin keselamatan pelancong yang mengikuti aktiviti dan pengurusan pelancong di pulau dan jeti sentiasa teratur dan sistematik.
Katanya, selain itu ia juga untuk membanteras masalah ‘ulat’ penjual pakej-pakej aktiviti ‘water sport’, agar pelancong lebih selesa melakukan aktiviti riadah dan menjamin keselamatan mereka apabila menggunakan perkhidmatan yang berdaftar dengan Taman-Taman Sabah (TTS).
Liew menjelaskan isu pelaksanaan Kaunter Berpusat untuk aktiviti sukan air (sea sport) di TTAR yang tular di media massa dan sosial baru-baru ini.
Beliau berkata, Pengurusan TTS sedang dalam proses menambah baik sistem pengurusan pelancong dalam kawasan Taman yang mengikuti aktiviti-aktiviti sukan air (water sports) yang dijalankan di luar sempadan TTAR.
Aktiviti sukan air (water sports) dalam konteks ini adalah aktiviti seperti ‘parasailing’,‘banana boat’ dan sebagainya.
Katanya, antara isu-isu yang dihadapi oleh Pengurusan berkaitan aktiviti sukan air (water sport) adalah seperti berikut;
i. Masalah “ulat”. Penjualan pakej-pakej aktiviti sukan air oleh orang perseorangan (freelance)/syarikat atau dikenali sebagai “ulat” secara terbuka/tertutup di pulau-pulau TTAR. Aktiviti (soliciting) adalah satu kesalahan di bawah Peraturan Taman Tunku Abdul Rahman. “Ulat” tersebut biasanya masuk pulau untuk mencari pelanggan untuk menjual pakej-pakej bagi mendapatkan komisen dari syarikat-syarikat;
ii. Penggunaan jeti tidak teratur/sesak. Ruang menunggu bot di jeti Taman (contoh jeti pulau Manukan) menjadi sesak apabila setiap “ulat” berkumpul dengan pelanggannya secara tidak sistematik dan ditambah lagi setiap syarikat pengendali sukan air berlumba-lumba melabuhkan bot untuk mengambil pelanggan;
iii. Kesukaran memantau bot pengendali (terutama melibatkan insuran dan keselamatan pelancong). Bot-bot yang digunakan untuk membawa pelancong untuk aktiviti-aktiviti sukan air ini tidak dapat dipantau sepenuhnya sama ada mempunyai landing permit yang masih sah atau tidak (tamat tempoh);
iv. Kecederaan pelancong. Apabila kecederaan pelancong akibat mengikut aktiviti-aktiviti ini, pelancong ini dihantar kepada lifeguard Taman untuk mendapat rawatan awal. Tanggungjawab ini diserahkan kepada pihak Taman mengurus pelancong ini;
v. Aktiviti ketika cuaca buruk. Tidak ada kawalan pihak Taman untuk memberhentikan bot syarikat pengendali ini dan keselamatan pelancong yang diambil dari kawasan Taman adalah tidak terjaga.
Liew berkata, Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah telah meluluskan dua syarikat yang bertindak sebagai ejen untuk membantu TTS menangani isu-isu yang telah dinyatakan untuk mengendalikan Kaunter Berpusat di TTAR iaitu di Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Sapi dan Padang Point (Pulau Gaya).
Katanya, antara fungsi dan tanggungjawab Kaunter Berpusat ini antaranya adalah menerima dan mendaftar syarikat-syarikat pengendali sukan air sedia ada atau baharu untuk rekod pemantauan dan kawalan Taman-Taman Sabah, kaunter hendaklah memastikan setiap syarikat pengendali sukan air yang berdaftar hendaklah mempunyai ‘Landing Permit’ yang sah dikeluarkan oleh TTS, menyedia dan menjual tiket-tiket aktiviti sukan air kepada pelanggan/pelancong yang berminat, memberi taklimat keselamatan dan menyelaras sistem penggiliran bot syarikat pengendali sukan air dengan pelanggan di Jeti TTS.
“Pengurusan Taman telah mengeluarkan notis pemberitahuan pelaksanaan kaunter berpusat pada 1 Mei 2024 sebagai makluman awal kepada syarikat pengendali sukan air. Ini bagi membolehkan pendaftaran oleh syarikat pengendali sukan air dapat dibuat dan seterusnya penerangan dan perbincangan lanjut ke atas tujuan kaunter tersebut dapat dibuat dengan teratur seperti pelaksanaan sistem tiket, sistem giliran, SOP keselamatan dan beberapa lagi.”
Jelasnya, pada ketika ini, pelaksanaan kaunter ini masih proses pendaftaran syarikat dan seterusnya penerangan dan perbincangan lanjut dengan pengendali sukan air akan dijalankan dalam masa terdekat dan ini termasuk juga konsultasi dan ketetapan mengenai kutipan bayaran.
“Pada masa ini, belum ada ketetapan atau arahan untuk kutipan pembayaran dan ia masih di peringkat perbincangan,” katanya.
































