KEMAMAN: Seorang jurujual wanita mendakwa dicabul seorang pelanggan lelaki di sebuah kedai menjual peralatan telefon bimbit di Kerteh, dekat sini, kira-kira pukul 4.30 petang Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang berusia 22 tahun mendakwa dicabul suspek yang berusia 24 tahun ketika sedang bekerja di premis tersebut.
“Menurut mangsa, ketika dia membantu mencari barang yang hendak dibeli suspek, lelaki itu menegur bau badan mangsa yang wangi dan keadaan itu menyebabkan mangsa tidak selesa,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Hanyan berkata, ketika mangsa mahu kembali ke bahagian kaunter, suspek kemudiannya telah bertindak menarik kedua-dua tangan mangsa menyebabkan mangsa cuba melawan dan menjerit, namun gagal.
“Suspek kemudiannya bertindak menarik mangsa masuk ke bilik kakitangan dan suspek dikatakan bertindak meraba kemaluan mangsa yang menyebabkan mangsa menjerit dengan kuat untuk meminta bantuan,” katanya.
Hanyan berkata, panik dengan jeritan mangsa, suspek kemudiannya bertindak meminta maaf dan bergegas beredar.
“Mangsa kemudiannya menghubungi rakan setugas yang kebetulan berehat untuk memaklumkan berhubung kejadian itu.
“Mangsa yang mengalami lebam di pergelangan tangan kanan menerima rawatan di Hospital Kemaman,” katanya.
Hanyan berkata, susulan laporan polis yang dibuat mangsa, pihaknya telah berjaya menahan suspek di Kemasik, kira-kira pukul 4 pagi kelmarin.
“Suspek yang bekerja sebagai penghantar barangan itu akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau mengikut Seksyen 148 Kanun keseksaan,” katanya.
































