PETALING JAYA: Kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur yang semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu berpunca daripada semakin mudahnya akses kepada pornografi di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kes rogol beramai-ramai melibatkan kanak-kanak berusia sembilan tahun yang berlaku di Kelantan tahun lalu terlepas daripada tuduhan kerana masih di bawah umur.
“Suspek semua berusia 9 dan 10 tahun, dan ia adalah ‘konsensual.’ Tetapi ia tetap rogol berkanun,” katanya.
Shuhaily berkata, mangsa bersetuju untuk melakukan hubungan seks disebabkan dia telah mematahkan pemadam milik suspek dan tidak dapat menggantikannya dengan yang baharu.
“Dia tidak mempunyai wang untuk membeli pemadam baharu. Dia menawarkan untuk membayarnya (dengan seks).
“Tidak ada kes, sebenarnya kerana tiada liabiliti jenayah untuk mana-mana orang di bawah umur 10 tahun. Tetapi kami buka kertas siasatan,” katanya kepada pemberita di ibu negara, kelmarin.
Tambah beliau, kes tersebut sering melibatkan isi rumah berpendapatan rendah dan kurang pengawasan daripada ibu bapa serta akses mudah kepada pornografi dalam talian.
































