Anwar Ibrahim ketika hadir pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Madani Jabatan Imigresen Malaysia 2024 di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua warga Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghentikan amalan tidak wajar dalam setiap tugasan selain menyesuaikannya dengan konsep Malaysia Madani.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, beliau turut menggesa warga JIM supaya melaksanakan tugas dengan ikhlas dan memperbaiki kelemahan sedia ada serta bekerja dalam satu pasukan.
Menurutnya, beliau bersama-sama pasukan JIM dan barisan Kabinet dalam kerajaan sedaya upaya akan melakukan perubahan ini.
“Saya nak tegaskan, saudara sudah menjalankan tugas dengan baik dan penuh tanggungjawab sebaliknya masih ada kelompok kecil yang menyebabkan imej jabatan tercalar.
“Saya harap saudara tidak terguris dengan teguran ini sebaliknya mendukung bersama untuk membetulkan kesilapan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Madani Jabatan Imigresen Malaysia 2024 di sini, kelmarin.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga JIM malah, semua pengurusan tertinggi termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Imigresen sedang mengambil langkah perlu bagi memperbaiki kelemahan sedia ada.
Jelasnya lagi, teguran ini tidak hanya kepada JIM sahaja malah, beliau turut melakukan perkara sama kepada barisan menteri Kabinet kerana kerajaan Madani harus ada anjakan dan tidak boleh kekal seperti kerajaan terdahulu.
“Saya juga dalam kerajaan sebagai satu pasukan, memang dalam kerajaan parti lain-lain ada UMNO, DAP, GPS dan GRS.
“Saya tidak fikir mereka wakil parti…tidak…sebaliknya kita adalah satu pasukan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, beliau juga mahu JIM memperbaiki tempoh waktu menunggu di kaunter pemeriksaan imigresen di pintu masuk negara terutama di lapangan terbang antarabangsa.
“Umpamanya kehadiran pelancong meningkat 80 peratus dari beberapa buah negara, itu maknanya jumlah besar. Dan mengejutkan kalau kita beri alasan kita dah cekap tapi orang tunggu dua tiga jam, itu masalah negara kita.
“Saya anggap ini sebagai cabaran kepada JIM dan sebab itu saya harap saudara jangan betul-betul tersinggung,” katanya.
































