Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Syarikat industri pertahanan tempatan perlu menggunakan pentas Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024 sebagai medan untuk mempamerkan keupayaan dan inovasi di pentas global sekali gus memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pertahanan negara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pameran DSA dan NATSEC 2024 merupakan pentas terbaik untuk syarikat pertahanan tempatan menonjolkan keupayaan dan kepakaran masing-masing.
“Biarkan astaka anda berdiri sebagai mercu tanda kecemerlangan, menyerlahkan bukan sahaja kehebatan teknologi tetapi juga komitmen terhadap kerjasama dan perkongsian.
“Dalam beberapa hari akan datang, kita mempunyai peluang besar untuk dialog penting antara negara, sektor pertahanan dan industri keselamatan.
“Saya menggesa semua peserta untuk bersama-sama, berkongsi pengetahuan, berinovasi, bertukar-tukar teknologi dan idea baharu, dan menjalin perkongsian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC), di sini.
































