PETALING JAYA: Orang ramai terutama ahli perniagaan dinasihat berwaspada dengan tawaran-tawaran terlalu menguntungkan seperti pembelian saham di bawah harga pasaran kerana dikhuatiri hanya taktik penipuan.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebagai contoh, pada Januari 2023, satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibuka bersabit laporan polis yang dibuat di Petaling Jaya oleh seorang pengarah syarikat berusia 55 tahun.
Menurut beliau, melalui laporan polis tersebut, pengadu memaklumkan berkenalan dengan suspek yang mengaku pemilik sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan ‘multi-level marketing’.
“Pengadu diyakinkan bahawa syarikat milik suspek bakal berkembang menjadi syarikat gergasi dan mempunyai cawangan di seluruh negara.
“Malah, suspek mendakwa dia mempunyai pegangan saham sebanyak 20,000,000 unit saham di dalam syarikat itu dengan nilai satu unit bersamaan RM1,” katanya ketika dihubungi di sini Ahad.
Ramli berkata, suspek menawarkan kepada pengadu 5,000,000 unit saham miliknya dengan nilai hanya RM0.80 seunit.
Jelas beliau, pengadu telah membuat tiga pindahan wang ke dalam akaun yang diarahkan oleh suspek.
“Bagaimanapun, semakan lanjut pengadu mendapati suspek hanya memiliki 1,500,000 unit saham dalam syarikat terbabit.
“Akibatnya, pengadu mengalami kerugian sebanyak RM4 juta,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata, kes tersebut antara contoh yang membabitkan tawaran yang tidak masuk akal yang mana saham sebuah syarikat bernilai RM1 seunit dijual hanya RM0.80 seunit.
“Justeru, kita menasihatkan masyarakat terutamanya ahli perniagaan untuk tidak terpedaya dengan sebarang tawaran pembelian saham dengan harga jauh lebih murah daripada pasaran sebenar,” ujarnya.
































