Mohd Asfia Awang Nassar
KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar akan mengemukakan cadangan untuk mengubahkan istilah Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Dewan Undangan Sarawak.
Menurut Utusan Malaysia, Mohd Asfia berkata, istilah ‘DUN’ yang digunakan ketika ini sejak 1976 perlu ditukar kepada Dewan Undangan Sarawak kerana Sarawak dirujuk sebagai ‘wilayah’ bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bagaimanapun, katanya penggunaan nama baharu bagi menggantikan terminologi DUN itu hanya akan dilakukan setelah mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Sarawak.
“DUN Sarawak adalah yang tertua di Malaysia kerana ia ditubuhkan pada 8 September 1867 di Bintulu dengan dikenali sebagai Majlis Umum Sarawak (Sarawak General Council).
“Pada 1903, Majlis Umum Sarawak dinamakan pula sebagai Majlis Negeri Sarawak sebelum ditukar kepada DUN Sarawak pada 1976,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pra-Persidangan DUN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, kelmarin.
DUN Sarawak, kata beliau adalah yang terbesar di negara ini dengan mempunyai 82 anggota, selain meluluskan belanjawan terbesar di Malaysia membabitkan RM11 bilion (Bajet 2024).
Mohd Asfia menjelaskan bahawa sebagai wilayah, status Sarawak tidak akan sama lagi dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, untuk persidangan yang akan bermula Isnin ini, pihak media boleh memilih sama ada untuk terus menggunakan istilah DUN Sarawak atau Dewan Undangan Sarawak dalam laporan masing-masing.
Baru-baru ini Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, dalam hantaran melalui Facebook berkata DUN Sarawak kini dikenali sebagai Dewan Undangan Sarawak selaras dengan statusnya sebagai wilayah.
Sementara itu, Mohd Asfia berkata Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Sarawak Ke-19 yang dijadualkan berlangsung selama lapan hari hingga 15 Mei ini akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, buat julung kali.


































