Pemain beregu negara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei tumpas kepada He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada aksi separuh akhir Piala Thomas.
PETALING JAYA: Harapan Malaysia untuk mara ke perlawanan akhir buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun berkecai apabila Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang perlu mencari kemenangan ke atas He Ji Ting-Ren Xiang Yu tewas kepada pasangan No. 11 dunia itu pada separuh akhir Piala Thomas di Chengdu, China, malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, beregu No. 15 dunia itu yang terdesak mendapatkan mata penyamaan gagal dalam misi mereka apabila kalah 21-18, 19-21, 12-21 dalam pertarungan yang berlangsung lebih sejam.
Kekalahan tersebut menyaksikan China mencatat kemenangan 3-1 dan pilihan pertama itu bakal berdepan Indonesia dalam perlawanan akhir, hari ini, selepas negara tetangga tersebut membenam Taiwan 3-0 dalam satu lagi separuh akhir.
Bagi Malaysia, kejayaan melangkah ke separuh akhir merupakan satu pencapaian yang baik, walaupun penantian untuk merangkul Piala Thomas masih belum berakhir.
Kali terakhir pasukan negara menjulang Piala Thomas ialah pada 1992 sewaktu Malaysia bergelar tuan rumah pada kejohanan berusia 75 tahun itu.


































