Gambar hiasan
PARIT: Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama di negara ini akan dirasmikan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 10 Mei ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, majlis perasmian akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Program AI sudah pun bermula di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ada juga konsortium dengan universiti-universiti yang lain.
“Tetapi untuk permulaan, kita mahu jadikan fakulti tersebut fakulti yang benar-benar mempunyai kualiti yang baik.
“Kepakaran yang ada di universiti-universiti lain juga turut bersama menjayakan penubuhan Fakulti AI di UTM,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar di sini kelmarin.
Sebelum ini, Zambry berkata, program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (AI) telah diluluskan di peringkat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT) pada Januari lalu dan pelajar kohort pertama program itu akan memulakan pengajian Oktober ini.
Katanya, pembangunan dan kokurikulum AI telah dikenalpasti menepati keperluan industri, melibatkan pakar-pakar bidang AI serta seiring dengan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 yang dirangka Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Sementara itu, Zambry berkata, penganjuran Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) bermula pada 4 Mei sehingga 9 Jun ini.
Menurutnya, program tersebut diadakan di 10 zon di seluruh negara bermula di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar manakala Majlis Penutupan JMU2024 akan diadakan di UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.
“Penganjuran JMU2024 ini bertujuan untuk mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi di bawah KPT yang merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
“JMU2024 juga menyasarkan kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, STAM dan Diploma atau Setaraf.
“Sepanjang program JMU2024, calon-calon lepasan SPM dan STPM atau Setaraf turut boleh memohon dan mengemaskini permohonan UPUOnline yang dibuka pada permohonan Fasa 2 mulai 29 April 2024 (12 tengah hari) hingga 9 Jun 2024 (5 petang),” katanya.