Lee Zii Jia tumbang kepada Viktor Exelsen pada perlawanan pertama dalam aksi menentang Denmark dalam saingan Kumpulan D Piala Thomas 2024.
PETALING JAYA: Malaysia muncul naib juara Kumpulan D selepas tumpas 2-3 kepada Denmark dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Piala Thomas di Chengdu, China, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, kekalahan pemain No. 10 dunia, Lee Zii Jia di tangan bintang No. 1 dunia, Viktor Axelsen 16-21, 22-24 dalam aksi perseorangan pertama telah menyebabkan laluan berliku terpaksa diharungi Malaysia.
Zii Jia berkata, dia gagal memberikan 100 peratus dalam persembahannya menentang Axelsen dan mengakui bukan tugas mudah berdepan pemain handalan tersebut.
“Mungkin secara peribadi jangkaan saya terlalu tinggi, saya memang tak puas hati, sewaktu mata terikat 20-20, pengalaman memisahkan kami,” katanya selepas perlawanan berakhir.
Walaupun kalah, anak jati Kedah itu memberitahu, dia sekurang-kurangnya dapat menilai perlawanan berdepan Axelsen sebagai satu ukuran kepada standard permainannya dan perlu diperbaiki segera.
Bagaimanapun, prestasi baik yang dipamerkan beregu No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya mengetepikan gandingan No. 4 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 17-21, 21-17, 21-16 berjaya mengikat Denmark 1-1.
Seperti yang diduga, kekalahan Zii Jia telah meninggalkan bebanan yang tidak mampu digalas perseorangan kedua Malaysia yang menghuni ranking ke-37 dunia, Leong Jun Hao apabila dia tewas mudah kepada jaguh No. 4 dunia, Anders Antonsen 14-21, 10-21 dalam masa 40 minit.
Beregu kedua negara yang berada di tangga ke-15 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengutip mata kedua Malaysia untuk kembali mengikat Denmark 2-2 setelah pasangan No. 18 dunia, Rasmus Kjaer-Federik Sogaard ditumbangkan mereka menerusi kemenangan straight set 23-21, 22-20.
Dalam aksi terakhir, Malaysia yang mempertaruhkan pemain remaja berbakat besar, Justin Hoh hampir mencipta kejutan ke atas pemain ke-26 dunia, Rasmus Gemke, tetapi, malangnya dia tewas 13-21, 21-19, 13-21.
Kekalahan itu menyebabkan Malaysia yang telahpun layak ke suku akhir lebih awal, terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Kumpulan D dan sekali gus, berada dalam risiko bertembung pasukan pilihan di peringkat lapan terbaik.
Undian semula hanya akan dilaksanakan sebaik saingan peringkat kumpulan berakhir, hari ini.
Selaku naib juara, skuad lelaki negara berpotensi bertembung tuan rumah, China yang menjuarai Kumpulan A, selepas mengetepikan Korea Selatan 3-2.
Untuk pertarungan terakhir Kumpulan B dan C membabitkan Jepun bertemu Taiwan dan Indonesia menentang India pula, hanya akan dilangsungkan, esok.
Justeru, selain China, Malaysia berpotensi bertembung dengan salah satu daripada empat pasukan berkenaan.
Walau siapapun pencabar yang bakal ditentang skuad kebangsaan nanti, Zii Jia selaku perseorangan pertama Malaysia perlu melakukan sesuatu untuk bangkit daripada kekalahan di tangan Axelsen.


































