Pemain Liverpool Reds, Phil Babb (kiri) mengejar bola dari Pemain Manchester Reds, Danny Webber pada perlawanan Battle of The Reds: Liverpool Reds menentang Manchester Reds di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, kelmarin. GAMBAR: Fariz Rusadio
KUALA LUMPUR: Liverpool Reds tidak berdepan masalah untuk menundukkan Manchester Reds 4-2 dalam aksi Battle of The Reds di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini malam tadi.
Dalam aksi tersebut, Liverpool Reds menurunkan lima pemain yang memenangi Liga Juara-Juara pada 2005 iaitu Luis Garcia, Djibril Cisse, Vladimir Smicer, Florent Sinama Pongolle dan John Arne Riise.
Liverpool Reds berada di depan menerusi jaringan Cisse pada minit ke-16 sebelum Manchester Reds menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi tandukan Dimitar Berbatov.
Manchester Reds memimpin perlawanan pada minit ke-39 selepas Danny Webber bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan rembatan menewaskan David James.
Bersambung babak kedua, perlawanan semakin rancak apabila Liverpool Reds bangkit menyamakan kedudukan menerusi tendangan penalti Cisse pada minit ke-44.
Cisse menghampakan penyokong setia Manchester United yang hadir apabila bekas penyerang Marseille itu sekali menyempurnakan penalti selepas Wes Brown mengasari Sinama.
Manchester Reds hampir menyamakan kedudukan, namun tendangan penalti Dwight Yorke terkena palang dan Liverpool menambah jaringan hasil serangan pantas Sinama pada minit ke-76.
Kira-kira 25,000 penyokong Manchester United dan Liverpool membanjiri SNBJ dan rata-rata mereka teruja menyaksikan pemain kesayangan mereka beraksi di depan mata meskipun sudah lama bersara daripada arena bola sepak.
































