Seorang peserta merakamkan tayangan video mengenai ibu negara terancang baharu Indonesia Nusantara, di Ecosperity Week di Singapura pada 7 Jun tahun lalu.
JAKARTA: Beberapa syarikat domestik dan antarabangsa menunjukkan minat untuk membangunkan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Nusantara, ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan.
Ini bagi merealisasikan visi Indonesia untuk menjadikan Nusantara sebagai bandar pintar dan hijau.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Pembiayaan dan Pelaburan Pihak Berkuasa Nusantara (OIKN), Agung Wicaksono berkata, terdapat banyak syarikat atau pelabur swasta yang berminat untuk melibatkan diri di Nusantara, terutama dalam pembangunan EV.
“Pihak yang berminat adalah domestik dan antarabangsa dan terdiri daripada perusahaan milik kerajaan serta syarikat swasta dan pelabur,” katanya dalam seminar dalam talian seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Antara.
Salah satu syarikat itu ialah pengendali teksi utama Indonesia, Bluebird, yang sudah memulakan projeknya di Nusantara.
Projek Bluebird adalah untuk menyediakan perkhidmatan transit pantas bas berkuasa elektrik untuk menyokong pengangkutan bandar, teksi berkuasa elektrik, kereta sewa berkuasa elektrik dan bas awam yang menghubungkan laluan Balikpapan-Nusantara.
Menurut Agung, ComfortDelGro dari Singapura adalah antara syarikat asing yang turut menyatakan minat untuk melabur dalam sektor pengangkutan EV Nusantara,.
Beliau menambah bahawa dalam industri pembuatan EV, syarikat seperti BYD dari China, PT Kalista dari Indonesia dan Škoda dari Republik Czech turut berminat untuk mengambil bahagian.
Pihak berkuasa menekankan bahawa EV adalah teras untuk merealisasikan wawasan Nusantara sebagai bandar pintar dan hijau dengan sistem pengangkutan yang mesra alam.
Menurut OIKN, kenderaan persendirian di Nusantara akan dihadkan manakala pengangkutan awam akan membentuk 80 peratus daripada lalu lintas.
Kebanyakan mod pengangkutan di bandar ini adalah kenderaan bukan bahan api fosil atau elektrik, tambahnya.
Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi sebelum ini menggalakkan penduduk Nusantara hanya menggunakan EV untuk perjalanan di dalam bandar.
Tahun lepas, Jokowi merasmikan projek loji tenaga solar 50 megawatt di Nusantara.
Portal Kompas melaporkan bahawa loji itu akan menghasilkan kira-kira 93 gigawatt jam (GWj) tenaga hijau setahun dan akan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 104,000 tan setiap tahun.
Jokowi juga menjemput Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook untuk melabur di ibu kota baharu itu.
Dia membuat jemputan itu semasa pertemuan mereka di Jakarta minggu lalu.
Kerajaan merancang untuk Nusantara diduduki sebagai ibu kota baharu Indonesia pada Ogos ini, bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-79.
Lebih 10,000 penjawat awam Indonesia dari 38 kementerian dan institusi akan berpindah ke Nusantara pada September, menandakan fasa pertama penduduk bandar itu.
Nusantara sedang dibina dalam lima peringkat.
Yang pertama adalah kira-kira tiga suku lengkap, meliputi infrastruktur asas seperti istana presiden, pejabat dan perumahan. Jalan tol dan rangkaian jalan utama lain juga dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Peringkat terakhir pembinaan Nusantara dijangka siap pada seratus tahun Indonesia pada 2045 apabila ia dihubungkan dengan bandar-bandar sekitar seperti Balikpapan dan Samarinda.


































