PETALING JAYA: Hasrat skuad Bawah 23 (B-23) negara mengutip tiga mata pertama dalam kempen Piala Asia B-23 gagal apabila tewas 0-2 kepada Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar.
Menurut Utusan Malaysia, dalam aksi pertama Kumpulan D itu, pasukan kebangsaan ketinggalan seawal minit ke-11 menerusi jaringan penalti Jasurbek Jaloliddinov selepas Syahir Bashah menjatuhkan Ruslanbek Jiyanov.
Tersentak dengan jaringan awal permainan tersebut, skuad B-23 negara kelihatan mengalami kesukaran untuk melakukan serangan balas terhadap gawang lawan.
Kealpaan anak-anak buah Juan Torres Garrido membawa padah apabila gawang pasukan sekali lagi dirobek lawan menerusi jaringan Ulugbek Khoshimov pada minit ke-83.
Skuad negara akan meneruskan saingan bertemu Vietnam di venue yang sama pada Sabtu ini manakala Uzbekistan menentang Kuwait di Stadium Al Janoub.
































