KOTA KINABALU: Jenazah mendiang Tan Sri Joseph Kurup akan dibawa balik ke Sabah melalui penerbangan komersial pada jam 9.15 pagi ini.
Selepas itu, jenazah mendiang akan terus di bawa ke Fook Lu Siew Coffin Supplies Sdn Bhd di Batu 2, Jalan Tuaran, di sini, bagi urusan penghormatan terakhir.
Menurut pegawai media Datuk Arthur Joseph Kurup, jenazah mendiang dijangka tiba di Fook Lu Siew Coffin Supplies Sdn Bhd pada sekitar jam 12.00 tengah hari, untuk upacara penghormatan terakhir kepada mendiang,
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Intergrasi Nasional) itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, kelmarin.
Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang berusia 79 tahun itu meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak termasuk Arthur yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Sepanjang berada dalam arena politik, bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli dan Timbalan Menteri Kemajuan Bandar dan Wilayah.
Mendiang bersara daripada arena politik pada awal tahun lalu untuk memberi laluan kepada anaknya Arthur menerajui PBRS sebagai Presiden.
































