Kejayaan skuad Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Asia 2023 menjadi bukti bola sepak Malaysia memiliki masa depan cerah.
PETALING JAYA: Peminat bola sepak tempatan tidak mahu melihat pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon meninggalkan pasukan lebih awal berbanding tempoh kontraknya.
Menurut Utusan Malaysia, Ekor Harimau Malaya juga melihat jurulatih dari Korea Selatan itu sememangnya mempunyai aura untuk membawa skuad negara lebih jauh ke hadapan.
Sebaliknya, peminat bola sepak tempatan lebih rela untuk melihat pengurusan tertinggi badan induk bola sepak negara itu meninggalkan persatuan itu.
Perkara itu dinyatakan oleh peminat bola sepak tempatan dalam ruangan komen di laman Facebook FAM sendiri ekoran khabar-khabar angin yang tersebar ketika ini.
“Bukan PKG yang sepatutnya keluar,” kata Ahmad Rizal dalam ruangan komen di laman Facebook FAM.
Selain itu, Amirul Choding berkata, sepatutnya individu lain yang patut melepaskan jawatan dan bukannya Pan Gon.
“HM (Harimau Malaya) masih perlukan khidmat KPG (Kim Pan Gon), banyak lagi perkara yang perlu diperbetulkan. Paling kurang biar habis pusingan kelayakan dahulu,” kata Amirul.
“Orang-orang atasan FAM yang perlu letak jawatan. Bukannya KPG,” kata Muhd Azrai.
Sebelum ini tersebar khabar angin pengendali skuad Harimau Malaya itu rela meninggalkan pasukan dengan pampasan tiga bulan gaji, namun perkara itu dinafikan oleh jurulatih berkenaan.
Kelmarin, tersebar surat layang yang mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam badan induk bola sepak negara itu yang dikirimkan kepada kebanyakan media.




























