David Chan
KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah menasihati pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa balik kampung untuk beraya bagi mengelakkan kemalangan.
Presidennya, David Chan berkata, ketika musim perayaan, jumlah kenderaan yang bergerak pada satu-satu masa akan bertambah sekali atau dua kali ganda menyebabkan jalan raya menjadi lebih sesak dan berbahaya.
Katanya, keadaan itu sering menyebabkan sebilangan pemandu tidak sabar dengan memandu laju, manakala sebilangan lagi memandu dalam keletihan malah ada yang melanggar undang-undang jalan raya.
“Kita berpesan kepada semua pihak agar tidak mengabaikan keselamatan diri dan keluarga semasa memandu balik ke kampung atau menuju ke mana-mana destinasi untuk beraya.
“Jangan terkejar-kejar ketika memandu kerana musim perayaan semestinya jalan akan sesak berbanding hari biasa dan senario ini tidak boleh dielak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, biasanya pada musim perayaan kes-kes kemalangan akan meningkat, malah kes kematian dan kecederaan parah juga bertambah.
Beliau turut menggesa syarikat pengangkutan awam agar memperkemas perkhidmatan bas mereka dan mengikut piawaian kerajaan.
“Saya menggesa Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) mengetatkan pemeriksaan rutin untuk bas bagi memastikan mereka mematuhi keperluan keselamatan standard dengan menjalankan ujian nafas rawak untuk alkohol.
“Pastikan pemandu tidak terpengaruh dengan dadah dan alkohol untuk mengelak kemalangan maut. Berjaga-jaga adalah lebih baik daripada perkara tidak diingini terjadi semasa membawa penumpang untuk balik kampung,” tegas David.
Beliau berkata, pada musim perayaan ini semua pihak perlu lebih bertimbang rasa, bertolak ansur dan tidak mementingkan diri sendiri.
Katanya, apa yang penting ialah bukan cepat atau lambat tiba ke sesuatu destinasi tetapi dapat meraikan hari raya dengan saudara mara dan orang tersayang.
“Semoga sambutan hari raya pada kali ini dapat disambut dengan riang gembira. Oleh itu janganlah jadikan sambutan ini hari berduka kerana kecuaian kita di jalan raya,” tambah beliau.




























