Spesies ikan gergaji di Florida Key dilaporkan terjejas sejak Januari lalu.
MIAMI: Pasukan saintis di Florida Keys sedang berusaha keras mencari petunjuk bagi merungkai punca berpuluh-puluh spesies ikan berputar di dalam air sebelum mati secara misteri di kawasan perairan tersebut.
Fenomena aneh ribuan hidupan air termasuk spesies gergaji terancam dilihat ‘berpusing dan berputar’ di Florida Keys turut dilabel sebagai peristiwa tingkah laku ikan yang tidak normal oleh Suruhanjaya Ikan dan Hidupan Liar Florida (FWC).
Menurut Utusan Malaysia, The Bonefish & Tarpon Trust (BTT) turut menerima 57 laporan tentang tingkah laku itu sejak ia pertama kali diperhatikan pada bulan Oktober.
Ahli biologi BTT, Ross Boucek berkata, 25 misi penyelidikan dijalankan sejak pertengahan Januari bagi mengumpul 150 sampel meliputi 35 spesies ikan yang berbeza termasuk jerung dan pari.
“Apa yang paling membimbangkan penyelidik ialah 28 kematian ikan gergaji gigi kecil yang sangat terancam dan sudah kehilangan populasinya oleh tangkapan sampingan perikanan dan pembangunan pantai.
“FWC sudah menghantar 52 ikan, termasuk 12 sampel ikan gergaji, ke Universiti Alabama Selatan untuk dianalisis,” katanya.
Profesor Universiti Pantai Teluk Florida, Mike Parsons berkata, pakar mengesyaki insiden itu mungkin disebabkan oleh toksin semulajadi daripada alga Gambierdiscus selepas penyelidik mengesan parasnya yang tinggi di kawasan terjejas dan usus beberapa sampel ikan.
Toksin itu dikuatiri berbahaya dan boleh membawa maut kepada manusia yang memakan ikan tercemar dengan bahan tersebut.
BTT dan FWC mengesyorkan orang ramai mengelak daripada memakan ikan dari kawasan berkenaan dan tidak berenang di lokasi yang mempunyai ikan mati dan bergejala.
FWC dalam satu kenyataan di laman X memaklumkan sudah melancarkan tapak web respon baharu, yang akan dikemas kini setiap minggu dengan maklumat terkini mengenai isu tersebut.
































