Satu daripada setiap lima hidangan makanan berakhir ke tong sampah.
GENEVA: Ketika satu pertiga daripada penduduk dunia berdepan kelaparan, lebih satu bilion makanan dibuang di seluruh dunia setiap hari, dedah laporan terbaharu Agensi Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).
Menurut Utusan Malaysia, Laporan Indeks Sisa Makanan Program Alam Sekitar PBB 2024 mendedahkan, sekitar 1.05 bilion tan makanan atau menyamai satu daripada setiap lima hidangan bernilai lebih AS$1 trilion (RM4.73 trilion) dibazirkan setiap hari.
Data terkini menunjukkan, kira-kira 19 peratus makanan yang tersedia kepada pengguna disia-siakan pada peringkat runcit, perkhidmatan makanan dan isi rumah.
Jumlah tersebut adalah tambahan kepada kira-kira 13 peratus makanan yang rosak dalam rantaian bekalan, seperti yang dianggarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) dari pasca tuaian hingga ke premis jualan.
“Sisa makanan adalah tragedi global. Berjuta-juta orang akan kelaparan hari ini kerana makanan dibazirkan di seluruh dunia.
“Isu berterusan ini bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi global tetapi juga memburukkan lagi perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, dan pencemaran,” kata Pengarah Eksekutif UNEP, Inger Andersen.
Sekitar 631 juta tan atau sehingga 60 peratus daripada jumlah yang dibazirkan dikesan dari isi rumah manakala sektor perkhidmatan makanan dan runcit menyumbang pembuangan 290 dan 131 juta tan lagi.
“Secara purata, setiap orang membazirkan 79 kilogram makanan setiap tahun, bersamaan dengan 1.3 hidangan setiap hari untuk semua orang di dunia yang terjejas oleh kelaparan.
Jelas laporan itu, negara panas didapati membazirkan lebih banyak makanan daripada kawasan sejuk disebabkan peningkatan penggunaan produk segar dan kekurangan penyelesaian penyejukan serta pengawetan.
“Faktor suhu bermusim yang lebih tinggi, kejadian haba melampau dan kemarau menjadikannya lebih mencabar untuk menyimpan, memproses, mengangkut dan menjual makanan dengan selamat hingga menyebabkan sejumlah besar makanan terbuang atau rosak,” katanya.


































