Penunjuk perasaan menyertai protes mengiktiraf perkahwinan sejenis di Bangkok, Thailand.
BANGKOK: Dewan rendah Parlimen Thailand meluluskan Rang Undang-undang (RUU) perkahwinan sejenis, sekali gus bakal menjadikan kerajaan itu negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan perkara sedemikian.
Menurut Utusan Malaysia, RUU itu mendapat sokongan semua parti utama Thailand dan diluluskan oleh 400 daripada 415 ahli Parlimen yang hadir, dengan 10 mengundi menentangnya.
Ia masih memerlukan kelulusan daripada Dewan Negara dan pengesahan daripada Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn sebelum boleh dikuatkuasakan dalam tempoh 120 hari.
Thailand akan mengikuti Taiwan dan Nepal menjadi negara ketiga di Asia yang menghalalkan kesaksamaan perkahwinan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ+).
Perundangan itu dibuat lebih sedekad lalu, namun berdepan pergolakan politik dan perselisihan faham tentang pendekatan yang perlu diambil serta perkara utama yang harus dimasukkan dalam RUU itu.
Mahkamah Perlembagaan pada 2020 memutuskan undang-undang perkahwinan semasa Thailand yang hanya mengiktiraf pasangan heteroseksual disyorkan untuk diperluaskan bagi memastikan hak jantina lain.
RUU itu mencadangkan penukaran rujukan kepada lelaki, wanita, suami dan isteri dalam undang-undang perkahwinan kepada istilah neutral jantina yang turut membolehkan pasangan sejenis menikmati hak warisan serta anak angkat.
Parlimen pada Disember meluluskan empat draf RUU berbeza mengenai perkahwinan sejenis dalam bacaan pertama dan menugaskan jawatankuasa untuk menggabungkannya menjadi satu draf.


































