Para penerima sumbangan ceria bergambar kenangan bersama para ahli PPPPP Labuan
LABUAN: Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPP) Cawangan Labuan meneruskan tradisi membantu golongan kurang berkemampuan seperti anak-anak yatim.
Menurut Pengerusinya, Datin Dayang Pungut Abdul Jalil program – program sedemikian sudah menjadi tradisi setiap tahun terutamanya semasa bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Persatuan kami sentiasa mengadakan aktiviti berbentuk kemasyarakatan dan kebajikan agar semua ahli-ahli masih dapat menyumbang kembali kepada masyarakat khasnya kepada yang kurang berkemampuan walaupun kami sudah bersara dari dunia pendidikan.
“Kami ingin sentiasa memainkan peranan dalam pembangunan negara kerana jiwa pendidik itu yang masih tebal dalam setiap individiu yang bernama ‘guru’ selari dengan agenda Malaysia Madani yang dibawa oleh kerajaan kini,”katanya yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan Aidilifitri dalam Program ‘Kami Sayang Kamu’ di Sekolah Kebangsaan Pekan Dua semalam.

Dayang (sepuluh dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar SK Pekan Dua
Pada program itu, seramai 16 orang pelajar dari golongan anak yatim dan kurang berkemampuan menerima sumbangan duit raya serta barangan khas.
“Setiap tahun kami memilih satu sekolah untuk melaksanakan program ini dan pada tahun ini semua dana adalah hasil dari sumbangan para ahli PPPPP sendiri,”jelasnya lagi.
Hadir sama Naib Yang Dipertua PPPPP Malaysia Cawangan Negeri Sabah, Abdul Wahid Matbari dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pekan Dua, Abd Rahman Salim.


































