KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan telah dijatuhkan hukuman denda RM15,000.00 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda di Mahkamah Seksyen 2, di sini, kelmarin.
Hakim Elsie Primus menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Mazlan Emarula dan memutuskan agar hasil jualan minyak diesel sebanyak RM13,437.50 dirampas dan dilucuthak dijadikan hasil kerajaan.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah sementara tertuduh tidak diwakili peguam. Tertuduh menjelaskan denda.
Kesalahan dilakukan pada 19 Mei 2023 kira-kira jam 4.00 pagi di Stesen Minyak Petron Minitod, Penampang dan telah ditahan bersama barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 6,250 liter yang berada di dalam tangki tiga buah lori.
Pihak polis telah menahan suspek dan ekshibit sebelum menyerahkan kes kepada KPDN Sabah.
Tertuduh telah didakwa di mahkamah kerana telah menimbulkan syak munasabah bahawa ianya telah melakukan kesalahan melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 iaitu dalam perjalanan perniagaan telah menggunakan dan mengambil Barang Kawalan Berjadual minyak diesel melebihi had kuantiti 20 liter yang dinyatakan dalam Ruang 2 Jadual Bahagian IV Peraturan yang sama. Sehubungan itu telah dituduh melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas dalam kenyataan hari ini berkata, kejayaan ini mencerminkan kerjasama erat pihak KPDN Sabah dengan agensi-agensi penguat kuasa lain, yang setakat ini telah menghasilkan 67 serahan kes (Januari hingga 28 Mac 2024) dengan nilai rampasan RM2,014.091.75 daripada pelbagai Agensi Penguatkuasaan termasuklah PDRM, PPM, PGA, ATM dan JKDM.
Kes-kes tersebut masih dalam proses siasatan, tambahnya.
“Bagi tempoh yang sama, KPDN Sabah telah mendaftar sebanyak 14 kes di mahkamah dan enam kes telah selesai pendakwaan dengan jumlah denda sebanyak RM37,500, sementara lapan kes masih dalam prosiding mahkamah,” katanya.
Katanya, sebarang salah laku atau penyelewengan barang kawalan penyaluran maklumat boleh dibuat kepada mana-mana pejabat cawangan KPDN berdekatan atau melalui platform aduan seperti berikut:
i) Aplikasi WhatsApp ke 019-279 4317 / 019-848 8000;
ii) Portal Aduan: e-aduan@kpdn.gov.my;
iii) Call centre 1 800 886 800;
iv) Emel ke e-aduan@kpdn.gov.my; dan
v) Aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN.


































