KUALA LUMPUR: Sebuah kondominium mewah di Jalan U-Thant di sini yang dijadikan pusat penipuan panggilan terbongkar menerusi serbuan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, kelmarin.
Ops Serkap itu dijalankan pada pukul 4.30 petang susulan aduan awam membabitkan kekuatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya, JIM Kuala Lumpur serta Pasukan Taktikal Khas (PASTAK).
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammad Saupee Wan Yusoff berkata, siasatan mendapati beberapa premis di kondominium terbabit dijadikan pusat aktiviti penipuan dengan penglibatan scammer terdiri daripada sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi tujuan pelaburan dalam talian.
Katanya, seramai 28 orang diperiksa dalam serbuan terbabit.
“Hasilnya, seramai enam warga China serta Myanmar berumur antara 35 hingga 56 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Ketika operasi, kita menghadapi kesukaran apabila unit kondominium dikawal ketat oleh dua lapisan kawalan keselamatan.
“Malah, dipercayai beberapa warga asing telah melarikan diri melalui tingkap belakang apabila menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa imigresen,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, satu saman dikeluarkan kepada pemilik kondominium yang juga warga tempatan bagi membantu siasatan.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas beberapa peralatan seperti komputer riba, set komputer berskrin besar, tablet, telefon bimbit, router WiFi dan sejumlah 11 pasport antarabangsa.
“Kesemua tangkapan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
































