Hajiji menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri kepada Bomba dan Penyelamat Sabah, diterima Pengarahnya Abdul Razak Muda
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan bekalan air diagihkan kepada 58,080 Ketua Isi Rumah (KIR) merangkumi 355 buah kampung dalam 12 daerah di seluruh negeri yang terjejas akibat kemarau berpanjangan.
Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM7.5 juta dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), katanya.
“Jabatan Air Negeri dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terjejas kini sedang mengagihkan air kepada penduduk,” katanya.
Daerah yang terjejas teruk akibat kekurangan air ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.
“Loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari 2024 dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji (tengah) diberi taklimat mengenai situasi semasa kebakaran hutan dan belukar oleh Pengarah Bomba dan Penyelamat Sabah Abdul Razak Muda.
Pembenihan Awan Bermula Esok
Ketua Menteri berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengesyorkan operasi pembenihan awan di kawasan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering pada 28 hingga 30 Mac.
“Operasi pembenihan awan akan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan,” katanya sambil menambah bahawa kos akan ditanggung sepenuhnya oleh NADMA manakala MET Malaysia telah bersetuju menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal.
Beliau berkata Tentera Udara Diraja Malaysia yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.
“Kita berharap operasi pembenihan awan akan berjalan lancar dan menghasilkan hujan di kawasan terjejas di Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM267,444 kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk kegunaan mereka membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas di negeri ini.
Peralatan itu termasuk 27 pam mudah alih, 75 pam anduh bermotor dan 906 unit pemadam api.
Sehingga 26 Mac lalu, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan telah memusnahkan 9,392.23 ekar di seluruh negeri.
Daripada jumlah ini, kira-kira 8.55 ekar di tapak pelupusan sampah Kayu Madang masih belum dapat dibendung sepenuhnya.
“Sehingga kini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menggerakkan 319 anggota bomba di seluruh Sabah. Kerajaan Negeri berikrar untuk menberikan bantuan kepada jabatan itu untuk mengawal kebakaran,” katanya.


































