PETALING JAYA: Polis sedang menunggu keputusan cap jari yang diambil dari bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 ditemukan di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya, minggu lalu, bagi membantu siasatan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, hasil pemeriksaan menemukan kesan cap jari dan polis sudah menghantarnya untuk dianalisis di makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita masih menunggu keputusan cap jari terbabit dan setakat ini belum diperoleh.
“Pengarah syarikat terbabit juga masih belum tampil setakat hari ini (kelmarin) bagi membantu siasatan berkaitan penemuan bagasi berisi wang tunai itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini kelmarin.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah di Damansara menemui bagasi berisi wang tunai di tempat letak kenderaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, siasatan mendapati beg itu berisi wang kertas not RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.
Beliau berkata, polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) namun tidak memfokus kepada lokasi bagasi ditemukan dan meminta pemilik bagasi tampil beserta bukti jika ingin menuntut wang berkenaan.
Susulan itu, polis menerima laporan daripada sebuah syarikat yang mendakwa bagasi berkenaan milik mereka namun sehingga kini individu itu belum tampil dengan memberi pelbagai alasan seperti bermesyuarat dan sakit.


































