Fadhlina Sidek
KLANG: Kementerian Pendidikan akan menentukan tindakan terhadap seorang guru yang dikatakan bercinta dengan anak muridnya dekat sebuah sekolah menengah di Sepang, selepas polis selesai lakukan siasatan.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tindakan tersebut akan bergantung kepada hasil daripada siasatan oleh polis dan pihaknya kini sedang menunggu proses tersebut selesai sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Selepas selesai siasatan, guru ini tidak boleh berurusan dengan murid terbabit.
“Apapun, semua tindakan yang bakal diambil ke atas guru berkenaan mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya ringkas selepas menghadiri Majlis Temu Mesra Menteri Pendidikan Bersama Calon Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), hari ini.
Jelas Fadhlina, bagi pelajar lelaki yang terlibat pihaknya akan memberi perlindungan sepenuhnya sebagaimana garis panduan dalam KPM.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, polis sedang menyiasat kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, guru berusia 37 tahun itu didakwa memeluk dan mencium leher murid tingkatan empat di perpustakaan sekolah sehingga meninggalkan kesan kemerahan sekitar Disember tahun lalu.
Malah, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan yang mengesahkan perkara itu memberitahu, laporan diterima pada Disember tahun lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan dalam kes ini.


































