PETALING JAYA: Sebanyak 28 kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan setakat semalam termasuk satu kematian akibat strok haba melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kesihatan nemaklumkan, kes penyakit berkaitan haba itu melibatkan 19 kes kelesuan haba dan sembilan kes strok haba, manakala tiada kes kejang haba dilaporkan.
Katanya, lapan kes dilaporkan di Kedah, Perak (tujuh kes), Selangor (tiga kes), Negeri Sembilan (tiga kes), Sabah (tiga kes), Perlis (dua kes), Johor dan Pahang masing-masing satu kes.
“Seramai 23 pesakit berumur 20 hingga 59 tahun, manakala selebihnya (lima orang) adalah remaja berumur 3 hingga 19 tahun,” kata kenyataan itu.
Berhubung satu kes kematian akibat strok haba, Kementerian Kesihatan memaklumkan, kes itu dilaporkan di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh, Pahang melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun.
Katanya, lelaki itu dimasukkan ke hospital pada 31 Januari dan meninggal dunia pada 2 Februari.
“Selain itu, sehingga kini terdapat satu kes strok haba, seorang lelaki berumur 24 tahun yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Port Dickson. Keadaan beliau dilapor masih tidak stabil.
“Manakala, satu lagi kes strok haba melibatkan seorang lelaki berumur 22 tahun yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Sultanah Maliha, Langkawi telah dipindahkan ke wad biasa dan dilaporkan stabil. 25 kes lain telah mendapatkan rawatan dan sembuh,” katanya.
Sehubungan itu, kementerian menasihatkan semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak dan lain-lain aktiviti di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang.
“Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/statuscuaca- panas/) dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang Kementerian Kesihatan (http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan),” katanya.


































