ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan siasatan berhubung tindakan seorang pempengaruh yang juga pemilik jenama pakaian memasuki premisnya yang sedang terbakar di Bangi, Selangor Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, tindakan lelaki itu dianggap membahayakan nyawanya selain mendatangkan risiko kepada orang awam.
“Saya mengarahkan supaya siasatan dibuat terhadap kandungan TikTok ini, pegawai kita cuba halang beliau daripada masuk ke dalam premis (yang terbakar), tetapi dimaklumkan bahawa beliau melanggar arahan pegawai.
“Kita juga melihat bagaimana penggunaan Akta 341 (Akta Perkhidmatan Bomba 1988) untuk mengambil tindakan tetapi memerlukan siasatan. Saya arahkan tubuh jawatankuasa oleh Bahagian Siasatan dan Keselamatan Kebakaran, kita akan dapat keputusan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Kedah dan Perlis di Ibu pejabat JBPM Kedah, di sini kelmarin.
Beliau mengulas tentang satu video berdurasi 50 saat yang tular di media sosial sejak Ahad memaparkan pempengaruh tersebut memasuki premis butik pakaiannya yang terbakar. Akhbar turut melaporkan kebakaran itu mengakibatkan dua pekerjanya sesak nafas.
Tambah Nor Hisham, anggota bomba mempunyai prosedur keselamatan yang menjadi amalan untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku jika terdapat kebakaran.
“Kalau kita tengok bomba pakai alat penafasan. Bukan senang nak masuk kawasan yang ada asap tapi apabila dia (pempengaruh) masuk itu menyebabkan isu kepada keselamatan.
“Kadang-kadang nampak asap sikit tetapi kita tak tahu bahawa itu asap ataupun oksigen dalam bangunan itu lebih kepada bawah 16 peratus bila masa sahaja boleh rebah dan pengsan. Jangan kerana kandungan media sosial sampai mengancam nyawa,” jelasnya.
Selain itu, katanya, JBPM Selangor turut menjalankan siasatan terhadap punca kebakaran tersebut yang dikatakan disebabkan oleh longgokan kotak di lokasi tersebut.
“Tangga merupakan laluan pelepasan diri (jika berlaku kecemasan). Apabila diletakkan bahan-bahan mudah terbakar akan menyebabkan risiko kepada penghuni-penghuni lain,” katanya.
































