Hussein Omar Khan
SHAH ALAM : Polis masih menunggu pengarah syarikat teknologi maklumat (IT) yang mendakwa bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 adalah miliknya tampil memberi keterangan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, satu laporan diterima daripada pengarah syarikat terbabit namun sehingga kini dia masih belum beri keterangan atas faktor kesihatan.
“Jadi kita (polis) masih belum dapat sahkan wang itu adalah milik syarikat terbabit,” katanya ditemui selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini kelmarin.
Dalam majlis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi itu, lima petugas media antara 31 penerima sijil penghargaan daripada Hussein.
Mengulas lanjut, ketika ditanya apa alasan diberi pengarah syarikat terbabit berikutan masih belum tampil, Hussein berkata, pengarah terbabit mendakwa dia sakit dengan menyerahkan sijil sakit.
Tambahnya, pihak polis sedang menunggu bukti, rekod dan sebagainya.
“Kita perlukan bukti kerana ia (wang tunai) tidak boleh dituntut begitu sahaja,” ujarnya.
Minggu lalu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya menemukan bagasi terbabit di tempat meletak kenderaan di premis tersebut.
Pihak pengawal keselamatan itu kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan itu di IPD Petaling Jaya.
Pemeriksaan pada beg bagasi warna merah jambu dan putih bersaiz sederhana itu berisi nota wang kertas RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.
































