PETALING JAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Indeks Pelopor (IP) negara mencatatkan pertumbuhan yang berterusan kepada 3.2 peratus pada Januari 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perubahan terhadap tahunan IP itu meneruskan momentum peningkatan kepada 112.0 mata pada Januari 2024 berbanding 108.5 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Menurut beliau, peningkatan tersebut dipacu oleh oleh kenaikan kukuh dalam bilangan syarikat baharu didaftar iaitu 38.peratus dan import benar logam asas berharga serta logam bukan ferus lain naik sebanyak 31.4 peratus.
“Merujuk kepada prestasi bulanan, IP mencatatkan 1.6 peratus pada bulan rujukan berbanding 0.3 peratus pada bulan sebelumnya..
“Ini berikutan prestasi yang memberangsangkan ditunjukkan dalam import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain iaitu 0.7 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Tambahnya, dari segi arah aliran jangka panjang terlicin pada Januari 2024, Indeks Pelopor kekal di bawah trend 100 mata.
Meskipun masih berada di bawah trend, katanya, lonjakan dalam prestasi IP menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang lebih menggalakkan dalam tempoh terdekat susulan pemulihan dalam perdagangan luar.
Berhubung dengan ekonomi semasa, beliau berkata, Indeks Serentak (IS) mengekalkan pertumbuhan positifnya sejak September 2021 dengan mencatatkan 124.1 mata.
Mengulas lanjut, IS merekodkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus berbanding 120.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, peningkatan itu disumbangkan oleh prestasi yang baik bagi semua komponen.
Beliau menjelaskan prestasi bulanan IS pulih semula kepada 0.2 peratus berbanding negatif 0.2 peratus pada bulan sebelumnya.
Katanya, kenaikan semula itu didorong oleh indeks pengeluaran perindustrian dan kapasiti penggunaan dalam pembuatan, masing-masing menyumbang 0.3 peratus.
































