KUALA LUMPUR: Seorang artis veteran ditahan reman selepas memukul abang iparnya di sebuah flat perumahan yang terletak di Bandar Tun Razak, di sini, Ahad.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa berusia 41 tahun dikatakan berselisih faham dengan suspek.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, artis veteran yang juga adik ipar mangsa bertindak memukul dan mencederakannya di bahagian kepala serta badan menggunakan besi panjang.
Kata beliau, bertindak atas maklumat, suspek yang berusia 64 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pukul 12.01 tengah malam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 28 Mac ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Beliau berkata, sebarang bentuk jenayah kekerasan dianggap kes serius dan disiasat dengan sebaik mungkin.
“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 039284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” jelasnya.
































