Pemain Harimau Malaya kembali menjalani latihan sebagai persiapan menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).- Ihsan FAM
PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui anak buahnya masih memiliki harapan untuk menjinakkan Oman apabila bertemu semula di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Kedua-dua pasukan berentap semula bagi aksi kelima Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas pertemuan Jumaat lalu memihak kepada Oman.
Walaupun kemenangan aksi pertama melonjakkan Oman di kedudukan teratas Kumpulan D, fikiran pengendali Oman, Jaroslav Silhavy pasti belum lagi tenteram memandangkan perlawanan Jumaat lalu sudah memberikan ‘latihan’ terbaik buat Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, kemenangan akan mencerahkan peluang Harimau Malaya untuk layak ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2026 dan mara ke Piala Asia 2027 secara merit.
“Sekarang (perlawanan pertama) tahap fizikal kami tidak berada pada tahap yang diharapkan namun apabila bermain di gelanggang sendiri ia pasti berbeza. Harapannya adalah kami akan terus mencuba dan kami kena teruskan harapan.
“Apa juga situasinya, kita masih ada tiga perlawanan lagi, jadi lebih baik bersikap positif dan melihat lebih ke depan. Kami akan merangka pelan untuk menghadapi satu lagi perlawanan dengan Oman,” kata Pan Gon.
Mengulas lanjut, secara keseluruhan pengendali dari Korea Selatan itu berpuas hati dengan sumbangan dan komitmen diberikan oleh setiap pemain.
“Saya tidak ada rungutan terhadap pemain, kekal hargai sumbangan mereka yang mencuba sehabis baik. Kita tahu peminat mungkin kecewa tetapi kami akan cuba bersiap sedia utuk berikan aksi terbaik,” kata Pan Gon.
Pada kunjungan ke Muscat sebelum ini,Pan Gon menyedari kesukaran dihadapi anak buahnya adalah faktor kecergasan terbaik tidak dimiliki anak buahnya ekoran berehat panjang dan saingan Liga Malaysia (Liga M) hanya akan membuka tirai Mei ini.
Untuk rekod, Harimau Malaya memulakan kempen Kumpulan D dengan membenam Kyrgyzstan 4-3 di Bukit Jalil sebelum meneruskan rentak sama dengan menewaskan Taiwan 1-0 di Taipei.
Kekalahan sulung Harimau Malaya, Jumaat lalu menyaksikan skuad negara kini berada di tangga ketiga, meskipun berkongsi enam mata dengan Oman dan Kyrgyzstan.
































