RANAU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) berharap projek ‘Southern Link’ yang bakal melengkapkan Grid Negeri Sabah akan dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd. Yaakob Haji Jaafar berkata, pelaksanaan projek tersebut adalah sangat penting berikutan kejadian kecemasan melibatkan dua menara talian penghantaran T194 dan T300 di Ranau yang perlu dibaiki dengan segera akibat kerosakan struktur.
Pada masa ini, satu-satunya talian penghantaran 275kV yang menghubungkan Pantai Timur Sabah dengan Pantai Barat Sabah adalah melalui talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud.
Menurut beliau, pelaksanaan projek Southern Link ini akan melibatkan pembinaan talian penghantaran sepanjang 330km bermula daripada Sipitang ke Tenom dan seterusnya ke Kalabakan dan Tawau.
Sekiranya projek ini diluluskan untuk pelaksanaan pada tahun hadapan, ianya dijangka akan dapat disiapkan pada tahun 2030 dan amat kritikal kerana lebih kurang 200MW keperluan tenaga elektrik di Pantai Timur Sabah masih ditampung oleh penjanaan daripada Pantai Barat Sabah.
Mohd. Yaakob berkata, SESB masih menunggu keputusan akhir Kerajaan mengenai pelaksanaan projek ‘Southern Link’ ini.
Kerosakan serius terhadap dua menara penghantaran sedia ada di Ranau ditangani segera oleh SESB dengan memasang menara lencongan kecemasan Emergency Restoration System (ERS).
Pemasangan ERS itu dibuat dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kerajaan Negeri Sabah dan dijangka akan dapat disiapkan lebih awal iaitu pada 20 Mac, 2024.


































