PETALING JAYA: Malaysia akan berdepan hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa yang singkat ekoran fasa peralihan monsun yang dijangka bermula 29 Mac dan berterusan sehingga Mei ini.
Menurut Utusan Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) memaklumkan, dengan bermulanya fasa peralihan monsun, keadaan cuaca panas dan kering yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengahan bulan ini.
Ketua Pengarah Met Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah daripada pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir dan lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru itu, Muhammad Helmi berkata, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh berkenaan dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1300221638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.


































