PETALING JAYA: Tindakan seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden Polis (DSP) dipercayai melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara terbongkar selepas dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin.
Penahanan suspek berusia 55 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu turut menemukan wang tunai lebih RM1 juta dipercayai hasil bayaran daripada sindiket tertentu.
Turut ditahan seorang anggota polis pangkat rendah yang dipercayai berperanan sebagai orang kanan kepada DSP terbabit.
Menurut Utusan Malaysia, satu sumber mendedahkan, wang berjumlah lebih RM1 juta itu ditemukan SPRM di dua apartment yang dimilikinya terletak di Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Kata sumber itu, siasatan SPRM mendapati pegawai kanan terbabit dipercayai telah menerima bayaran secara bulanan daripada sindiket tertentu.
“Kegiatan itu dipercayai telah dilakukan dalam masa yang agak lama. SPRM kini masih menjalankan siasatan bagi mengesan sekiranya ada aset-aset lain diperoleh hasil melindungi kegiatan haram tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pegawai kanan berkenaan direman tiga hari bermula semalam bagi siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu berhubung penahanan seorang pegawai kanan mereka.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, sebarang tindakan yang akan diambil oleh pihaknya bergantung kepada hasil siasatan SPRM nanti.
“Kita serah kepada SPRM jalankan siasatan mereka terlebih dahulu, selepas itu, baru kita akan lihat tindakan daripada pihak kita,” katanya di sini semalam.
Kata Allaudeen, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi terhadap salah laku melibatkan mana-mana pegawai dalam soal pelanggaran integriti.


































