PUTATAN: SK Pendidikan Khas Tuaran dengan kerjasama yang kukuh Yayasan Taiwan Buddhist Malaysia, telah membuat program kitar semula yang tidak hanya membangkitkan kesedaran, tetapi juga semangat gotong-royong dalam menjaga alam sekitar.
Program yang disifatkan sebagai gilang gemilang ini telah menarik perhatian dengan kehadiran ramai sukarelawan daripada Yayasan Taiwan Buddist Malaysia serta turut mendapat sokongan padu dari ibu bapa murid yang bangga akan usaha anak-anak mereka.
SK Pendidikan Khas Tuaran dalam satu kenyataan hari ini berkata, dalam menghadapi cabaran tidak pernah terhalang oleh kepelbagaian muridnya yang terdiri daripada murid bekeperluan khas masalah pembelajaran, ketidakupayaan pendengaran dan ketidakupayaan penglihatan, para pelajar sekolah tersebut telah membuktikan bahawa keberanian dan ketabahan adalah kunci kejayaan dalam mewujudkan perubahan yang bermakna.
Dengan slogan “Bersama Sekolah, Ibu Bapa, dan Murid: Kitar Semula, Kekal Hijau! Satu Komuniti, Satu Misi, Membentuk Masa Depan Lestari”, sekolah ini telah meniupkan semangat kelestarian kepada semua lapisan masyarakat.
Keajaiban sebenar berlaku apabila SK Pendidikan Khas Tuaran menjadi sekolah pertama yang berani mengambil inisiatif bersempena pembukaan minggu pertama persekolahan sesi 2024/2025 untuk menyokong kempen ini dengan harapan menjadi titik permulaan yang cemerlang dalam usaha memulihkan alam sekitar.
Yayasan Taiwan Buddhist Malaysia mengakui keunikan dan kehebatan usaha yang dilakukan oleh SK Pendidikan Khas Tuaran ini adalah sangat hebat.
Mereka berharap bahawa semangat kecemerlangan ini akan menjadi mercu kejayaan bagi semua sekolah khasnya di Sabah dan amnya di Malaysia.
“Dalam dunia yang semakin mencabar, keberanian untuk berbuat kebaikan adalah ciri yang patut dipuji dan dijadikan contoh. Dengan penuh semangat dan dedikasi, sekolah ini telah membuktikan bahawa meskipun mereka adalah sekolah kecil, namun impak yang mereka hasilkan adalah luar biasa.
“Mereka telah membuka jalan menuju kelestarian alam sekitar dan menegaskan bahawa pendidikan adalah tonggak utama dalam membangunkan sebuah masyarakat yang peduli dan bertanggungjawab terhadap bumi kita yang tercinta.
“Semoga usaha mereka menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah dan masyarakat setempat untuk turut serta menjaga kelestarian alam demi masa depan yang lebih baik,” kata Yayasan Taiwan Buddhist Malaysia.
































