Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diseru agar tidak melakukan apa-apa bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama atau kepercayaan demi memelihara semangat perpaduan yang terjalin sejak sekian lama di negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata tindakan yang menyentuh isu-isu berkaitan 3R (Agama, Bangsa, Institusi Diraja) bukan sahaja akan mencemarkan prinsip perpaduan tetapi juga akan menyebabkan pelaku berhadapan dengan tindakan undang-undang.
“Ini selaras dengan amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan pihak yang mahu menyemai bibit perpecahan dan mencabar Perlembagaan tidak lagi boleh dibiarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas tindakan seorang individu yang tidak bertanggungjawab yang cuba menggugat keharmonian kaum dengan melakukan penghinaan terhadap agama Islam.
“Sudah tentu kita tidak boleh berkompromi dengan tindakan yang mampu menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negeri kita. Rakyat Sabah haruslah sentiasa memiliki sifat hormat-menghormati dan memelihara toleransi yang telah terjalin sejak sekian lama. Toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama telah menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.
“Apa yang penting, umat Islam tidak melakukan apa-apa tindakan di luar lunas undang-undang dalam menangani hal ini. Kita perlu menyerahkan hal ini kepada pihak berkuasa. Saya difahamkan individu berkenaan telah berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan, dan berharap perkara seperti ini tidak akan berulang,” katanya.































