PETALING JAYA : Tiga beranak warga Indonesia cedera selepas dipukul seorang lelaki senegara akibat perselisihan berkaitan kerja dalam kejadian di Taman Kosas, Ampang dekat sini pada Rabu lalu.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, seorang wanita warga Indonesia bersama ibu dan adiknya berada di perhentian bas berhadapan Jalan 1/5, Taman Kosas.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 39 tahun itu kemudian datang dengan sebatang besi dan memukul ketika-tiga mangsa yang berusia 24 sehingga 56 tahun.
“Akibat dipukul, mereka mengalami kecederaan di kepala, muka dan tangan.
“Susulan itu, pada 3.45 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menangkap suspek yang juga pembantu kedai di Taman Kosas serta merampas senjata digunakan dalam kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Malah, ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia negatif penyalahgunaan dadah.
“Suspek direman empat hari bermula Khamis lalu hingga esok. Motif kejadian disebabkan perselisihan kerja antara mangsa dengan suspek dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
































