Mustapha (tengah) bersama Dr. Rafiq (kanan), Pengerusi Lembaga Pengarah UCSF, Datuk Dr. Mohd. Yaakub Haji Johari dan kakitangan serta pelajar UCSF.
KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) menerima kunjungan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud di kampusnya di Sembulan, di sini, kelmarin.
Ketibaan Mustapha disambut oleh Naib Canselor UCSF, Dr. Rafiq Idris bersama kakitangan dan pelajar universiti itu.
Beliau turut mengambil kesempatan bertemu dengan sebahagian pelajar UCSF dan menyerahkan buah kurma.
Beliau juga meluangkan masa melawat Nature Inspiration Art Gallery (NIAG) UCSF serta mengadakan sesi pertemuan bersama kakitangan pengurusan tertinggi universiti.
Dalam pertemuan itu, beliau menegaskan bahawa jalinan kerjasama di antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPT Swasta mampu merealisasikan usaha membawa Malaysia terus maju ke hadapan.
“Terutamanya dalam sektor pendidikan di Sabah dengan adanya UCSF yang merupakan satu-satunya universiti milik penuh Kerajaan Negeri di bawah Yayasan Sabah.
“Ini juga mampu memberikan impak positif dari segi ruang dan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi anak-anak Sabah. Mereka boleh terus meneroka peluang-peluang pengajian yang ada di UCSF dengan bantuan pengajian daripada Yayasan Sabah,” tegasnya.
Sementara itu, Dr. Rafiq berkata, pelbagai perkara telah dicadang dan dibincangkan semasa pertemuan itu berhubung pengajian tinggi di Malaysia dan Sabah khususnya.
“Dengan sokongan serta kerjasama dari Kementerian, saya percaya pelbagai usaha boleh direalısasıkan,” katanya, sambil berterima kasih kepada Mustapa di atas kunjungannya.
































