KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) mengumumkan pelaksanaan program Demand Side Management (DSM) di mana pengguna kuasa besar yang mempunyai genset sendiri dan menyertai program ini akan mengendalikan genset mereka atas arahan SESB semasa keadaan kekurangan kapasiti penjanaan Grid yang kritikal.
Ianya adalah untuk mengurangkan beban Grid dan mampu mengelakkan catuan bekalan kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, program DSM telah dilaksanakan sebagai mitigasi segera bermula pada 1 Mac 2024 apabila jidar simpanan telah menurun sehingga di bawah tahap selamat.
Katanya, keperluan DSM telah diaktifkan beberapa kali pada bulan ini berikutan set penjanakuasa di salah satu loji janakuasa yang telah dihentitugas sementara bagi penyelenggaraan terancang yang tidak dapat ditangguhkan lagi.
Set penjanakuasa tersebut akan terus dihentitugas sehingga akhir Mac 2024, katanya, sambil menambah, kejadian seumpama ini dijangka akan terus berulang sehingga penghujung tahun ini disebabkan oleh jidar simpanan (reserve margin) yang rendah akibat kekurangan kapasiti penjanaan di Grid Sabah.
Setakat ini seramai 19 pengguna kuasa besar telah menyertai program DSM ini dan ianya berjaya mengurangkan beban Grid sehingga 18MW ketika diaktifkan.
“ECoS dan SESB akan meneruskan usaha untuk mengenalpasti pengguna berpotensi menyertai program ini bagi memberikan kelegaan yang berkesan kepada puncak sistem Grid Sabah.
“Pengguna yang menyertai program ini akan diberi pampasan untuk penggunaan bahan bakar disel sewaktu pengoperasian set penjanakuasa mereka dalam tempoh DSM. Walau bagaimanapun, catuan bekalan masih perlu dilakukan jika pengurangan beban Grid melalui kaedah DSM ini tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nasser menggesa semua pengguna untuk mengamalkan penggunaan cekap tenaga dan penjimatan tenaga
“Salah satu contoh amalan ini ialah untuk menetapkan suhu penghawa dingin pada 24 hingga 26 darjah Celsius. Perubahan suhu dari 20 kepada 24 darjah Celsius akan memberikan penjimatan 33% tenaga elektrik,” katanya.
Tambahnya, langkah lain yang dapat memberikan kesan ialah untuk mengelakkan sekiranya boleh penggunaan peralatan elektrik berkuasa tingg seperti alat pemanas air, ketuhar elektrik, seterika elektrik, cerek elektrik dan lain-lain seumpamanya pada waktu puncak antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, jam 2 hingga 4 petang dan jam 6 hingga 8 malam sewaktu hari bekerja biasa.
Untuk panduan mengenai penggunaan elektrik yang bijak, sila rujuk kepada laman web ECoS pada www.ecos.gov.my.


































