SEMPORNA: Dua pelancong maut manakala lima lagi cedera dengan tiga daripada mereka parah setelah bas persiaran dinaiki mereka bertembung dengan lori treler membawa muatan buah lalu terbabas ke tepi jalan dan terbalik di Jalan Kalumpang, KM20, Jalan Semporna-Tawau, di sini, petang kelmarin.
Yang maut dikenalpasti sebagai seorang lelaki warga Singapura berusia 60 tahun dan seorang wanita warga Vietnam, 40.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, seasukan anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II Asmaraie Nordanig dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya 20 kilometer dari BBP selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.03 petang menerusi talian MERS999.
Katanya, setiba di tempat kejadian, pasukan bomba berjaya mengeluarkan tujuh orang mangsa terlibat di dalam bas persiaran.
Dua daripada mangsa (seorang perempuan dewasa seorang lelaki) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, manakala tiga orang mangsa lelaki dewasa cedera parah telah dihantar ke Hospital Semporna menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Dua lagi orang mangsa (seorang kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki dewasa) mengalami cedera ringan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud operasi ditamatkan pada jam 5.32 petang.
































