Sebuah kereta remuk dihempap roda pesawat Boeing 777 di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco.
LOS ANGELES: Sebuah pesawat United Airlines dalam penerbangan ke Jepun terpaksa membuat pendaratan cemas selepas rodanya tercabut dan menghempap beberapa kenderaan di tempat letak kereta lapangan terbang di Los Angeles.
Rakaman video menunjukkan satu daripada enam roda pemasangan gear pendaratan utama tertanggal beberapa saat selepas pesawat Boeing 777 yang membawa 235 penumpang dan 14 kru itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco.
Roda terbabit kemudian melantun ke kawasan parkir yang digunakan kakitangan lapangan terbang itu, menyebabkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan akibat insiden berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Tony Molinaro, penerbangan menuju Osaka itu segera dilencongkan ke Los Angeles dan berjaya mendarat dengan selamat.
Rakaman tular menunjukkan sebuah kereta Honda rosak teruk dengan tingkap pecah dan pintu penumpang belakang remuk.
Jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, Dae Levine berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan semua penumpang dapat meneruskan perjalanan pada hari sama.
Landasan itu ditutup sementara untuk kerja-kerja membersihkan serpihan dan dibuka semula beberapa jam kemudian.
Insiden di San Francisco merupakan yang terbaharu dalam siri isu keselamatan melibatkan jet Boeing tahun ini.
Satu lagi penerbangan United Airlines dilaporkan terpaksa ditunda Isnin lalu selepas enjin pesawat itu terbakar.
































