Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri digugurkan daripada program Road To Gold (RTG).
PETALING JAYA: Jawatankuasa Road To Gold (RTG) yang bermesyuarat tadi memutuskan mengeluarkan dua penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri daripada program tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas kedua-duanya gagal mara ke Sukan Olimpik Paris 2024 Julai ini menerusi dua Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, baru-baru ini yang menjadi acara kelayakan terakhir awal bulan ini.
Bagaimanapun, katanya, kedua-duanya akan terus menjadi sebahagian daripada Program Podium sebagai atlet elit negara.
“Pandelela dan Nur Dhabitah telah melakukan yang terbaik untuk membanggakan negara sepanjang tahun tetapi malangnya, di sebalik usaha terbaik mereka, kedua-duanya tidak berjaya mara ke Sukan Olimpik Paris menerusi dua Kejohanan Akuatik Dunia baru-baru ini di Doha, Qatar yang menjadi acara kelayakan terakhir awal bulan ini.
“Tetapan kriteria program RTG yang jelas, jawatankuasa telah membuat keputusan untuk mengeluarkan Pandelela dan Nur Dhabitah daripada program RTG. Bagaimanapun, kedua-duanya akan terus menjadi sebahagian daripada Program Podium sebagai atlet elit negara,” kata kenyataan tersebut.
Mesyuarat Jawatankuasa RTG itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Menurut MSN, Jawatankuasa RTG bagaimanapun akan terus memantau kemajuan mereka dan Program Podium dan akan bekerjasama rapat dengan atlet dan persatuan untuk memastikan kedua-duanya menerima semua sokongan untuk mereka menemui semula rentak yang diharapkan sebelum dipertimbangkan semula untuk dimasukkan ke dalam program pada masa hadapan.
“Dengan penyingkiran atlet ini daripada program RTG, alatan latihan yang dibiayai oleh RTG seperti platform latihan gim kering baharu (5m), pusat pemulihan khusus dan papan anjal baharu yang diluluskan FINA (yang akan tiba tidak lama lagi) akan menjadi pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada semua penerjun kebangsaan,” kata kenyataan itu.
































