PETALING JAYA: Ringgit pada masa ini terkurang nilai (undervalued), kata Bank Negara Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi.
“BNM telah meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Pagi tadi, ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam awal dagangan.
Pada pukul 9.05 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.7775/7805 berbanding dolar AS daripada 4.7750/7795 semasa ditutup pada Isnin.
































