PETALING JAYA: Lima lelaki yang sebelum ini direman kerana disyaki memukul seorang pemandu kereta sehingga mati dalam kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, dekat sini, 20 Februari lalu akan didakwa esok.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang. Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, seramai lima suspek akan dituduh di Mahkamah Bandar Baru Bangi dekat sini.
“Mereka akan dituduh pada 27 Februari (esok),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan kesemua suspek yang dituduh berusia antara 22 hingga 52 tahun yang direman lima hari sebelum dilanjutkan perintah reman selama empat hari semalam.
Terdahulu, media melaporkan, selain lima tangkapan pertama, polis turut menahan dua lagi lelaki berusia 22 dan 39 tahun di Kajang yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Ini susulan kejadian seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun maut disyaki dipukul serta diikat sekumpulan lelaki di kawasan Taman Pelangi Semenyih 2, di sini, Selasa lalu.
Kejadian tragis itu berlaku selepas lelaki yang memandu Proton Saga kelabu itu kemalangan dengan penghantar makanan.
Sejurus kemalangan itu, mangsa dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.
Susulan itu, polis menahan lima lelaki tempatan berusia 22 hingga 52 tahun di sekitar Kajang dan Semenyih beberapa jam selepas kejadian.


































